Oleh Mohd Raji Abdullah
am@hmetro.com.my
KUCHING: Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan
air serius walaupun dilanda cuaca panas dan kering sejak sebulan lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata walaupun
masalah bekalan air berlaku di beberapa tempat di negeri itu, ia tidak
berpanjangan dan membabitkan kawasan yang ramai penduduk.
Bagaimanapun, katanya, persediaan rapi sedang dibuat bagi menghadapi sebarang
kemungkinan pada musim kemarau panjang yang dijangka berlarutan hingga akhir
September ini nanti.
"Setakat in, kami belum menerima sebarang laporan masalah bekalan air yang
teruk. Kalau adapun hanya masalah kecil, tetapi ia dapat diatasi oleh Lembaga
Air dengan segera.
"Apa yang perlu dibuat sekarang ialah membuat pemantauan rapi bagi mengenalpasti
kawasan yang mungkin terjejas akibat musim kemarau panjang, bagi memudahkan
bantuan disalurkan segera," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harian Metro selepas menghadiri majlis perasmian
New Zealand Centre, di Pending, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pertanian New Zealand, Jim Sutton dan bekas Pesuruhjaya
Tinggi Malaysia ke New Zealand, Datuk Sri Daniel Tajem anak Miri. Dr Chan yang
juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, berkata pihaknya akan
mengadakan mesyuarat khas minggu depan untuk membincangkan langkah perlu bagi
menghadapi musim kemarau.
Katanya, selain membincangkan masalah bekalan air, mesyuarat itu juga akan
membincangkan tindakan perlu bagi membendung sebarang kegiatan pembakaran
terbuka bagi mengelak masalah jerebu berlaku pada musim kemarau ini.
Katanya, setakat ini masalah pembakaran terbuka juga masih belum serius walaupun
Lembaga Sumber Ash dan Persekitaran (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS)
mengesan beberapa tompok panas di negeri ini.
"Kami akan melipat gandakan kempen penerangan bagi menyedarkan orang ramai
mengenai kesan pembakaran terbuka," katanya.
Katanya lagi, Jawatankuasa Bencana Alam negeri juga akan meninjau ke beberapa
kawasan tadahan air di negeri ini bagi mengenalpasti keupayaan bekalan pada
musim kemarau ini.
|